MONZA: George Russell tidak nampak sebarang masalah menjadi rakan sepasukan baharu kepada juara dunia tujuh kali Formula Satu (F1), Lewis Hamilton di Mercedes musim depan.
Pemandu berusia 23 tahun itu akan meninggalkan Williams untuk menyertai rakan senegaranya dari Britain itu pada musim 2022 menggantikan Valtteri Bottas.
Hamilton yang ketinggalan tiga mata di belakang Max Verstappen pada saingan kejuaraan dunia musim ini, sudah menjelaskan dia menghormati dan mempercayai Bottas.
Bagaimanapun, Mercedes enggan mengekalkan pemandu Finland itu yang jarang memberi ancaman kepada Hamilton sejak enam tahun lalu, sebaliknya memilih Russell pada musim depan.
Mercedes sebelum ini pernah menyatakan mereka mahu mengelak daripada berulangnya peristiwa 2016 yang menyaksikan Nico Rosberg mengatasi Hamilton untuk muncul juara dunia.
“Saya rasa Mercedes sudah menyatakan dengan jelas mengenai perkara itu dan tidak mahu ia berlaku lagi.
“Secara peribadi, saya juga tidak mahu ia berlaku. Lewis dan saya melalui peringkat karier yang berbeza di mana saya rasa ia membantu dan saya amat menghormatinya.
“Saya rasa sebagai pemandu yang jauh lebih muda daripadanya, ia mengubah segala persepsi. Saya tidak nampak akan ada sebarang isu dengannya,” kata Russel.- AFP