LONDON: Kehadiran semula Cristiano Ronaldo di Manchester United dilihat tidak mampu memberi kejuaraan kepada kelab itu musim ini.
Bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher berkata, kepulangan Ronaldo hanya akan ‘mencetus banyak masalah sama seperti diselesaikan’ di bawah bimbingan Ole Gunnar Solskjaer musim ini.
Ronaldo melakukan kejutan berhijrah ke Old Trafford pada hujung jendela perpindahan pemain selepas 12 tahun meninggalkan kelab itu.
Pemain berusia 36 tahun itu tidak membuang masa mencetuskan impak di United apabila meledak dua gol ketika melakar kemenangan ke atas Newcastle sebelum menambah satu lagi gol semasa tewas mengejut 1-2 kepada Young Boys pada saingan Liga Juara-Juara.
“Dengan kembalinya Cristiano Ronaldo, ia menyebabkan banyak masalah sama seperti yang diselesaikan untuk skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer.
“Ronaldo mampu membuktikan bahawa dia adalah pembelian berbaloi untuk Liga Perdana berbanding Manchester United.
“Persoalan utama untuk United adalah sama ada kehadiran Ronaldo mampu memberikan mereka kejuaraan liga dan Liga Juara-Juara semula.
“Mengambil kira beberapa aksi awal, menang tiga daripada lima perlawanan, saya boleh katakan tidak.
“Ronaldo boleh menjadikan United kuat tetapi tidak mampu menjadikan kelab itu sebagai juara,” katanya.
United akan berdepan ujian getir West Ham hari ini dengan misi mengekalkan rekod tanpa kalah untuk kekal menerajui Liga Perdana. – AGENSI