MANCHESTER: Penyokong Red Devils teruja apabila Cristiano Ronaldo tiba awal di Manchester selepas membuat kepulangan sensasi dari Juventus.
Selepas meledak dua gol ketika Portugal menewaskan Ireland 2-1 pada kelayakan Piala Dunia 2022 kelmarin, Ronaldo diberi pelepasan untuk meninggalkan skuad lebih awal kerana menjalani penggantungan dan tidak dapat beraksi menentang Azerbaijan, Rabu ini.
Pemain berusia 36 tahun itu memilih untuk segera ‘terbang’ ke Manchester bersama keluarga menaiki pesawat peribadi dari Faro ke Lapangan Terbang Manchester pada pukul 5.40 petang semalam.
Di media sosial, peminat dan media berkongsi keterujaan melihat pemain yang terkenal dengan julukan CR7 itu akhirnya menjejak kaki ke bandar yang pernah mengangkatnya sebagai Pemain Terbaik Dunia.
Ronaldo ditempatkan di kediaman tujuh bilik tidur di luar bandar dilengkapi kawasan kecergasan terbaik, kolam renang, jakuzi dan enam pengawal keselamatan yang membolehkan dia berehat untuk kuarantin lima hari sebelum menyertai latihan.
Pasangan Ronaldo, Georgina Rodriguez memuat naik beberapa gambar di Instagram menunjukkan mereka menaiki jet, lokasi Manchester dan sekeping coklat Cadbury bersama logo Manchester United yang diberikan sebagai hadiah.
Di laman web Manchester United, jersi ikonik No. 7 yang akan dipakai pemilik Ballon d’Or lima kali itu sudah mula dijual.
Bekas rakan sepasukan Ronaldo yang kini pengarah teknikal United, Darren Fletcher bersama pasukan keselamatan menyambut ketibaannya di lapangan terbang.
Ronaldo yang melengkapkan perpindahan bernilai 19.8 juta pound (RM114 juta) dijadual menjalani latihan bersama rakan sepasukan di Carrington, Rabu depan. – AGENSI