MANCHESTER: Cristiano Ronaldo sudahpun membawa pengaruh dalam diet rakan-rakan sepasukannya biarpun baru kembali menyertai Manchester United.
Penjaga gol United, Lee Grant mendedahkan, pemain United enggan mengambil pencuci mulut pada waktu malam seperti kebiasaan kerana Ronaldo.
Katanya, pada Jumaat lalu, sehari sebelum menentang Newcastle dalam aksi Liga Perdana, semua pemain hanya mengambil makanan sihat ketika makan malam di hotel.
“Biasanya Jumaat malam adalah ‘cheat day’ dan kami boleh mengambil beberapa makanan yang tiada dalam diet.
“Anda akan dapat sedikit apple crumble dan kastard atau sedikit brownie serta krim.
“Bagaimanapun malam itu, tiada seorangpun menyentuh apple crumble dan kastard, tiada siapa memilih brownie.
“Semua hanya duduk dan seorang pemain bertanya saya ‘Apa yang ada dalam piring Cristiano?,” kata Grant.
Kata Grant, 38, pemain hanya mengambil sedikit makanan dan yang pasti paling menyihatkan dalam pinggan mereka.
Dia dan rakan sepasukan menjeling apa yang dimakan Ronaldo dan selepas mendapati makanan seperti avocado dan telur rebus di atas pinggannya, tiada seorang pun daripada mereka berani mendapatkan makanan pencuci mulut selepas makan malam.
“Saya beritahu anda, tiada siapa pun pemain yang menyentuh kesemua makanan itu. Kami hanya duduk di meja dan salah seorang berkata kepada saya ‘apa yang ada di pinggan Cristiano?’
“Makanan paling bersih, paling sihat yang anda boleh bayangkan. Saya hairan melihatkan tiada seorang pun berani mengambil manisan tersedia di atas meja,” katanya.
Ronaldo, 36, yang amat berdisiplin dalam soal pemakanan membuat kepulangan hebat di Old Trafford apabila menjaringkan dua gol ketika ketika United membenam Newcastle 4-1.
– AGENSI