LONDON: Bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Manchester United, Eric Djemba-Djemba mendedahkan bintang Portugal itu obses terhadap makanan Nando’s dan sangat gelojoh ketika menjamah ayam.
Djemba-Djemba dan Ronaldo masing-masing membuat penampilan sulung bersama Red Devils ketika menentang Bolton pada 2003.
Pemain dari Cameroon itu, yang kini berusia 40 tahun menceritakan pengalaman manis ketika bersama Ronaldo, sambil berkata, mereka berkongsi makanan kegemaran yang sama.
“Cristiano dan saya membuat penampilan sulung bersama menentang Bolton.
“Kami duduk sebelah menyebelah di bangku simpanan, dia menyaksikan perlawanan, bercakap mengenainya dan kami ketawa bersama.
“Kemudian Sir Alex Ferguson memanggil ‘Eric, Cristiano, pergi panaskan badan’. Seterusnya, kami diturunkan dalam aksi itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Djemba-Djemba berkata, Ronaldo juga seperti budak yang suka menunjukkan skil.
“Setiap hari, dia mahu tiba awal dan menggunakan gimnasium sebelum latihan. Selepas tamat, dia kembali ke gimnasium.
“Ada kalanya saya panggil, ‘Hei Cristiano! Ayuh pulang ke rumah’, kerana kadang-kadang kami pergi berlatih bersama.
“Kami singgah di restoran dan dia memperkenalkan saya Nando’s. Dia sangat menggemari ayam dan saya pula ayam pedas.
“Kami sering bersama menonton filem, perlawanan bola sepak, membeli belah di Deansgate atau Trafford Centre. Kami seperti pelancong,” katanya.– AGENSI