MANCHESTER: Cristiano Ronaldo muncul dalam sesi latihan pertama Manchester United hari ini dengan bergaya apabila menaiki kereta Lamborghini bernilai 170,000 pound (RM972,000).
Bintang Portugal itu sempat menunjukkan isyarat bagus kepada puluhan jurugambar yang menunggu di luar pusat latihan kelab di Carrington.
Ronaldo, 36, mengesahkan kepulangan semula ke Old Trafford pada hari terakhir jendela perpindahan dengan bayaran 12 juta pound (RM69 juta) dari Juventus.
? ????????: Tuesday's training footage…#MUFC pic.twitter.com/l8x3xZrTso
— Manchester United (@ManUtd) September 7, 2021
Dia tiba awal di Manchester setelah dilepaskan daripada tugasan antarabangsa bersama Portugal.
Pemenang Ballon d’Or lima kali itu pada mulanya berharap untuk membuat penampilan pertama menentang Newcastle United di Old Trafford, Sabtu ini, namun dia mungkin kesuntukan masa dan hanya akan beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara bertemu kelab Switzerland, Young Boys, Rabu depan.
Ini kali kedua Ronaldo tiba di Carrington sejak kembali bersama United selepas melaporkan diri buat kali pertama pada Selasa lalu.
Bagaimanapun, ini kali pertama dia menjalani latihan rasmi bersama rakan-rakan baharunya yang tidak terlibat dengan tugasan antarabangsa seperti Juan Mata, Fred serta rakan senegara, Diogo Dalot.
Dalot tampak terpesona melihat kehadiran Ronaldo pada sesi latihan, memandangnya dengan kekaguman dan senyuman lebar. – AGENSI