LONDON: Cristiano Ronaldo bukan sahaja terus meledak gol, malah mengaut pendapatan besar apabila memintas Lionel Messi dalam senarai 10 pemain bola sepak berpendapatan paling tinggi tahun ini.
Menurut Forbes, kepulangan penyerang Portugal itu ke Manchester United membantunya menikmati 91.5 juta pound (RM523.30 juta) sebelum cukai untuk musim 2021-2022, termasuk 51.25 juta pound (RM293.10 juta) gaji serta bonus.
Messi yang berpindah ke Paris Saint-Germain (PSG) di tempat kedua dengan 80.5 juta pound (RM460.38 juta), diikuti rakan sepasukannya – Neymar dan Kylian Mbappe ketiga serta keempat.
Pendapatan Ronaldo, 36, bukan sahaja diraih menerusi gaji, malah penajaan.
Begitupun Ronaldo tewas kepada tiga atlet lain dari segi penajaan iaitu bintang tenis, Roger Federer yang meraih 66 juta pound (RM 377.43 juta), jaguh bola keranjang, LeBron James – 48 juta pound (RM 274.50 juta) dan pemain golf, Tiger Woods 44 juta pound (RM 251.62 juta). – AGENSI