LONDON: Jurgen Klopp akan melakukan pertukaran dalam kesebelasan utama, termasuk mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat pemain muda Curtis Jones dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Porto, awal pagi esok.
Fokus utama pengendali dari Jerman itu terarah kepada kelemahan benteng yang dibolosi tiga gol ketika seri 3-3 dengan Brentford dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
Sepanjang dua kunjungan ke Estadio do Dragao, Reds berjaya meledak sembilan gol dan Klopp mengharapkan keputusan positif berjaya dibawa pulang pasukannya.
“Kami mempunyai rekod baik di tempat lawan (Porto), saya harap keputusan baik memihak pasukan. Akan ada beberapa pertukaran tetapi kita lihat nanti.
“Curtis pemain yang bagus, dia berbakat dan menunjukkan pakej yang baik ketika aksi menentang Brentford. Saya fikir dia mempamerkan permainan yang sangat bagus,” kata Klopp.
Final preparations before FC Porto ?
Watch the Reds train LIVE as we get set for our first away encounter in Group B of the #UCL… https://t.co/EfJ99c82KC
— Liverpool FC (@LFC) September 27, 2021
Joel Matip yang mengisi posisi pertahanan tengah ketika berdepan Brentford mungkin diganti oleh Ibrahima Konate, manakala Kostas Tsimikas berpotensi mengisi tempat Andrew Robertson di bek kiri.
Roberto Firmino bersedia untuk kembali mengetuai trio serangan bersama Mohamed Salah dan Sadio Mane menggantikan Diogo Jota.
Dalam aksi pertama kumpulan B, Liverpool melakar kemenangan 3-2 ke atas juara tujuh kali, AC Milan di Anfield manakala Porto seri 0-0 dengan Atletico Madrid.
Dalam satu lagi aksi tumpuan esok, selepas lebih tiga bulan tidak beraksi, pemain tengah Real Madrid, Toni Kroos dijangka kembali mengisi kesebelasan utama menentang Sheriff Tiraspol di Stadium Santiago Bernabeu. –AGENSI