PORTO: Jurgen Klopp memuji prestasi Liverpool ketika membenam Porto 5-1 dalam Liga Juara-Juara semalam, namun memberi amaran mereka perlu meningkatkan permainan jika mahu mengalahkan Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.
Dua gol Mohamed Salah dan pemain gantian, Roberto Firmino, selain jaringan Sadio Mane memberikan tiga mata buat Reds di Porto, sekali gus membolehkan juara enam kali itu mengungguli Kumpulan B.
City sebaliknya tewas 2-0 kepada Paris Saint-Germain (PSG) yang menyaksikan Lionel Messi membuka akaun jaringan.
“Kami perlukan aksi lebih baik berbanding hanya meneruskan momentum apabila berdepan City.
“Jelas sekali untuk menang kami kena tingkatkan permainan kerana cabaran yang bakal dihadapi sama sekali berbeza.
“Saya dengar keputusan PSG dengan City, sudah tentu City mahu bangkit.
“Apa pun, kami akan bermain di tempat sendiri depan ribuan penyokong, jadi ia menggembirakan saya,” kata Klopp. – AGENSI