PETALING JAYA: Bintang bola sepak Manchester United, Paul Pogba mencuri tumpuan rakyat Malaysia apabila dilihat ‘melayan’ kartun yang dihasilkan oleh syarikat animasi tempatan, Omar & Hana.
Dalam hantaran di Instagram, Pogba dilihat memegang alat kawalan jauh dan kelihatan gambar kartun Omar & Hana versi Bahasa Inggeris terpapar di kaca televisyen.
“Bersama C62+ TV terbaharu saya dari TCL dan ia skrin bersaiz XXL.
“Sesi menonton filem bersama keluarga di rumah!,” tulis bintang tengah Perancis itu.
Omar & Hana merupakan animasi kartun berunsurkan Islamik yang dihasilkan oleh syarikat animasi Malaysia, Digital Durian (DD).
Pogba pula beragama Islam dan sering berkongsi bagaimana dia beribadah, termasuk mengerjakan Umrah dan berpuasa pada bulan Ramadan.
Sehingga pukul 11.30 pagi tadi, hantaran Pogba sudah menerima lebih 400,000 tanda suka dalam kalangan 48.1 juta pengikutnya di Instagram.