PARIS: Bekas pengendali Arsenal, Arsene Wenger menyarankan Piala Dunia diadakan setiap dua tahun berbanding empat tahun sekali ketika ini.
Wenger, 71, yang kini menggalas jawatan Pengarah Pembangunan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga mencadangkan agar tempoh kelayakan antarabangsa hanya diadakan setahun dalam kalendar bola sepak global.
“Perkara utama ialah saingan kumpulan kelayakan setiap tahun, dan pada penghujung musim ada kejohanan utama, Piala Dunia atau kejohanan benua.
“Antara dua kelayakan itu, pemain akan kekal di kelab mereka sepanjang tahun.
“Mesti kurangkan kalendar antara tempoh bermain bagi kelab dan saingan bola sepak antarabangsa, justeru akan berkurangan aktiviti merentas benua buat pemain,” kata bekas jurulatih dari Perancis itu.
Wenger berkata, dia mahu melihat saingan antarabangsa hanya berlangsung sekali, mungkin pada Oktober kerana perlawanan tidak banyak.
“Buat pemain, tiada lagi perlawanan selepas itu, dan ada rehat wajib selepas peringkat terakhir, sekurang-kurangnya 25 hari.
“Apa yang orang mahukan ialah saingan yang bagus. Ia projek global, untuk bola sepak lelaki tapi boleh juga untuk bola sepak wanita dan kejohanan peringkat remaja,” katanya. – AFP