PETALING JAYA: Tanyalah sesiapa pun, Johor Darul Ta’zim (JDT) pasti menjadi pilihan utama untuk merangkul kejuaraan pada sambutan ke-100 tahun Piala Malaysia yang membuka tirai secara rasmi hari ini.
Bagaimanapun ada 16 pasukan bakal berentap dalam kejohanan bola sepak tertua di Asia Tenggara itu, bermakna JDT bukan satu-satunya calon untuk mendakap kejuaraan pada edisi paling istimewa.
Juara 33 kali, Selangor turun dengan misi memburu trofi ke-34, Kedah mahu menebus kekecewaan gagal merampas kejuaraan Liga Super apabila menutup kempen selaku naib juara di belakang JDT.
Paling mencuri tumpuan, skuad Hobin Jang Hobin, Negeri Sembilan yang bersedia menjadi pencabar utama selepas kejayaan menjulang trofi Liga Perdana di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, K. Devan.
Selepas kejohanan dibatalkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19, pemain tidak sabar untuk kembali bersaing dalam pertandingan paling berprestij itu, manakala peminat amat merindui aksi-aksi menarik biarpun kehadiran mereka ke stadium masih tidak dialu-alukan.
Apakah juara Liga Super lapan kali berturut-turut, JDT akan mempertahankan kejuaraan? Atau Selangor dapat merampas semula trofi yang kali terakhir dimenangi pada
2015, sekali gus mengembalikan reputasi sebagai ‘King of Malaya’?
Semua bakal terjawab apabila 16 pasukan – 11 Liga Super dan lima Liga Perdana berentap bermula hari ini sehingga November.