MELAKA: Hilang 80 peratus tonggak yang berhijrah ke pasukan lain pada pertengahan musim punca utama Perak gagal cemerlang hingga tersingkir ke Liga Perdana musim depan.
Barisan pemain muda yang diharapkan Bos Gaurus sebaliknya tidak mampu bersaing dengan pasukan yang lebih berpengalaman.
Kekalahan 1-2 kepada Melaka United (MU) dalam aksi Liga Super kelmarin menutup terus peluang Perak untuk menyelamatkan diri biarpun masih memiliki satu baki perlawanan.
“Pihak pengurusan benar-benar kecewa dengan kegagalan ini tapi apa nak kata, inilah hakikat yang terpaksa kami terima.
“Kita berdepan situasi paling getir apabila beberapa pemain utama berhijrah ke pasukan lain sebelum saingan pusingan kedua liga bersambung.
“Perak pincang di semua bahagian. Kita bergantung kepada pemain muda yang kurang pengalaman sedangkan pasukan lain ada pemain berkaliber dan lebih mantap,” kata penolong jurulatih Perak, Shahrulnizam Mustafa.
Isu tunggakan gaji yang membelenggu antara punca ramai pemain angkat kaki, malah Bos Gaurus turut dicemari insiden pemain serta jurulatih memboikot latihan.
Pemergian kapten, Mohd. Shahrul Saad dan penyerang Gulherme de Paula ke Johor Darul Ta’zim (JDT) antara tamparan besar.
Shahrulnizam berkata, Perak memerlukan perubahan apabila bersaing dalam Liga Perdana musim depan dan tidak mustahil mampu kembali ke kancah Liga Super 2023.