KUALA NERUS: Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti Abu Salim percaya, Mohd. Nafuzi Zain masih individu terbaik untuk melatih Terengganu FC (TFC) di sebalik kritikan diterima pengendali muda itu.
Irfan Bakti yang juga jurulatih Kuching City FC berkata, Nafuzi tidak perlu mempedulikan desakan dan komen negatif daripada penyokong, sebaliknya kekal fokus bagi menghadapi baki saingan musim ini.
“Kami sentiasa berhubung, saya harap dia terus bersabar dan mengurangkan gangguan luar padang yang boleh menjejaskan perancangan pasukan.
“Bola sepak ada turun naiknya, Terengganu bukan di zon penyingkiran sebaliknya di kelompok atasan dan masih dalam perebutan tangga kedua Liga Super,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut Irfan, sebagai bekas jurulatih Penyu, beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan pasukan dan bangga dengan pencapaian mereka di bawah Nafuzi.
Beliau yang membawa Nafuzi sebagai pembantu jurulatih Sang Penyu pada akhir 2017 berkata, jurulatih kelahiran Kelantan itu memiliki potensi besar untuk digilap.
“Dia kena berbincang dengan pemain dan pengurusan, pastikan ketua jurulatih boleh bekerja tanpa gangguan dan mendapat kepercayaan pemain,” katanya.
Terengganu akan menamatkan saingan Liga Super dengan aksi penting bertemu Penang FC di tempat lawan dalam misi hidup mati memburu slot automatik ke Piala AFC 2022.