LONDON: Pengadil liga utama Bosnia, Sabrija Topalovic berdepan detik cemas apabila samseng bola sepak bertindak membakar keretanya ketika dalam perjalanan pulang daripada mengadili perlawanan.
Insiden menakutkan itu berlaku selepas Topalovic mengadili aksi Liga Perdana Bosnia antara Velez Mostar menentang Borac Banja Luka, kelmarin.
Penyokong tuan rumah yang berang dengan beberapa keputusan pengadil menyerbu ke dalam padang selepas Mostar tewas 0-2.
Kemarahan mereka berlarutan hingga ke luar padang apabila Topalovic yang memandu pulang ke Sarajevo bersama dua pembantunya dihadang empat lelaki dalam terowong.
Menurut media tempatan, suspek bertindak merosakkan kereta Topalovic sebelum membakarnya, namun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku.
Ketiga-tiga pegawai itu berjaya melarikan diri ketika kereta Mercedes yang dinaiki mereka sedang marak disambar api.
Seorang pembantu Topalovic terpaksa mendapat rawatan di hospital, namun kereta itu tidak dapat diselamatkan.
“Tiga lelaki bertindak merosakkan kereta pegawai perlawanan sebelum menyalakan api.
“Seorang daripada pegawai mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital di Jablanica. Kami masih memburu suspek,” kata jurucakap polis Mostar. – AGENSI