KUALA LUMPUR: Kepulangan semula penonton ke stadium kemungkinan tidak dapat dilaksanakan pada perlawanan pertama Piala Malaysia 2021 jika Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi ‘lampu hijau’ seawal hari ini.
Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab. Ghani Hassan berkata, ini kerana setiap pasukan tidak mempunyai masa cukup untuk menyambut kehadiran semula penonton ke stadium memandangkan sepak mula edisi ke-100 itu akan bermula Ahad ini.
“Saya rasa dengan jarak yang begitu rapat, misal kata kebenaran tersebut diumumkan pada Jumaat, jadi agak sukar untuk pasukan membuat persediaan (menyambut kepulangan penonton) pada perlawanan pertama.
“Sebagai contoh, ketika penonton dibenarkan masuk (pada April lalu), hanya dua venue disediakan untuk tempoh percubaan iaitu di Johor dan Kuala Lumpur.
“Pasukan lain pula akan bersiap sedia dengan mengikut dua venue tadi sebagai contoh,” kata Ab. Ghani ketika dihubungi Utusan Malaysia kelmarin.
Mengulas lanjut, Ab. Ghani menegaskan, hanya penyokong yang sudah dilengkapi dua dos vaksin Covid-19 boleh memasuki stadium nanti.