Pemain Kedah gagal manfaat peluang - Utusan Malaysia

Pemain Kedah gagal manfaat peluang

PERTAHANAN Kedah, Renan Alves cuba mempertahankan bola daripada dirampas pemain UITM FC dalam perlawanan Liga Super Malaysia 2021 di Stadium Darul Aman malam tadi. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kegagalan barisan pemain Kedah  menjelmakan jaringan meskipun banyak peluang terhidang, mendatangkan tekanan kepada diri sendiri dalam perlawanan menentang UiTM FC di Stadium Darul Aman semalam.

Jurulatih mereka, Aidil Sharin Sahak tetap memuji kesungguhan anak-anak buahnya untuk mengetepikan tekanan itu sekali gus mengikat pelawat 3-3 biar pun ketinggalan 1-3 ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Menurut Aidil, pemainnya kini berdepan tempoh mencabar apabila perlu beraksi sehingga lapan perlawanan dalam sebulan.

“Para pemain bekerja keras dan menghasilkan banyak peluang dalam separuh masa pertama tetapi gagal menjaringkan gol. Saya fikir itu yang meletakkan tekanan kepada kita.

“Pasukan lawan cuma ada tiga peluang tetapi menyempurnakan ketiga-tiganya dan itulah yang membezakan antara kami dengan mereka.

“Tetapi saya bertanggungjawab untuk semua ini. Pemain sudah mencuba yang terbaik tetapi mereka mungkin penat atau kurang konsentrasi kerana tidak mudah untuk bermain hingga lapan perlawanan dalam sebulan selain cuaca hujan lebat seperti malam ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.

KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar (kanan) diasak pemain UITM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam tadi. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Dalam perlawanan itu, Kapten KDA FC, Baddrol Bakhtiar terlebih dulu meletakkan pasukan tuan rumah di depan menerusi gol pada minit ke-36 sebelum penyerang UiTM FC, Dennis Buschening menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti, dua minit kemudian.

Meskipun berjaya menambah dua lagi gol pada minit ke-46 dan 63 menerusi Yonghyun Kwon dan Ariff Ar-Rashid, hasrat UiTM untuk mencipta kejutan bagaimanapun tidak kesampaian apabila KDA FC kembali menyamakan kedudukan hasil jaringan Muhamad Fikhri Zulkiflee dan Tchetche Kipre pada minit ke-73 dan 80.

Mengulas mengenai perlawanan terakhir yang akan menentukan kedudukan di tangga kedua liga musim ini, Aidil berkata, beliau berharap para pemain akan beraksi memberikan yang terbaik meskipun KDA FC dilihat memiliki peluang lebih besar berbanding dua pasukan pesaing iaitu Penang FC dan Terengganu FC.

“Dalam perlawanan terakhir, Penang FC dan Terengganu FC akan bertemu sesama sendiri. Keadaan itu mungkin kelihatan baik buat kami kerana salah satu daripada mereka atau kedua-duanya mungkin akan kehilangan mata jika perlawanan berakhir seri.

“Namun jika kami dapat melaksanakan tugas dengan sempurna untuk mencatat kemenangan ke atas Melaka United, itulah yang terbaik. Disebabkan itu, saya berharap para pemain dapat menampilkan aksi sebaik mungkin dalam perlawanan itu nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya