MILAN: Carlo Ancelotti langsung tidak menggunakan Eden Hazard dalam perlawanan penting menentang Inter Milan, sebaliknya memberi kepercayaan kepada remaja berusia 18 tahun, Eduardo Camavinga dan Rodrygo Goes, 20, yang akhirnya menghadiahkan kemenangan tipis 1-0 buat juara 13 kali itu dalam saingan Liga Juara-Juara hari ini.
Masuk sebagai pemain gantian, Rodrygo muncul penyelamat Los Blancos dengan meledak gol tunggal kemenangan, seminit sebelum tamat permainan untuk memastikan Real pulang bersama tiga mata penuh.
Bagaimanapun wira sebenar di San Siro adalah penjaga gol, Thibaut Courtois yang memastikan gawang Real tidak dibolosi dengan menyelamatkan beberapa percubaan tuan rumah, termasuk peluang terbaik yang hadir menerusi Giuseppe Meazza.
Tindakan Ancelotti yang terlepas pandang ‘kewujudan’ Hazard dengan membawa masuk Rodrygo pada babak kedua nyata berbaloi, apabila penyerang muda Brazil itu menyempurnakan hantaran Camavinga untuk meledak gol cantik yang memadai untuk kemenangan 1-0.
Itu adakah jaringan ketujuh buat Rodrygo dalam penampilan ke-17 buat Real.
“Saya gembira diberi peluang beraksi dan menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang hebat,” kata Rodrygo.
Kemenangan itu meletakkan Real di tangga kedua Kumpulan D, di belakang kelab Moldova, Sheriff Tiraspol yang menumpaskan Shakhtar Donetsk 2-0. – AGENSI