KUALA NERUS: Peluang Terengganu FC (TFC) memburu gelaran naib juara Liga Super semakin malap selepas tumpas 0-1 kepada juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, sebentar tadi.
Kekalahan ketiga berturut-turut menyebabkan skuad Penyu kekal di tangga ketiga dengan 37 mata, dua mata di belakang pasukan kedua, Kedah ketika liga berbaki satu perlawanan.
JDT yang turun selaku pasukan pilihan memberi amaran seawal minit ketiga menerusi sepakan percuma Safawi Rasid dan tersentak dengan percubaan itu, tuan rumah memperkemaskan rentak melalui tandukan Argzim Redzovic.
Walaupun anak-anak buah Benjamin Mora menguasai tempo permainan, namun mereka terpaksa menanti sehingga masa tambahan babak pertama untuk memecahkan kebuntuan.
Percubaan deras Akhyar Rashid dan bek tengah, Shane Lowry yang tidak dikawal dengan mudah menyudahkan bola muntah untuk membawa kedudukan 1-0 ke bilik persalinan.
Kem JDT hampir diceriakan gol kedua, malangnya tandukan Bergson Da Silva (m-72) terkena tiang sebelum sepakan percuma Leandro Velasquez pada minit ke-80 ditepis penjaga gol.
Terengganh terpaksa berputih mata selepas Nik Akif Syahiran Nik Mat gagal menyudahkan hantaran Tuck pada minit ke-84.