LONDON: Arsenal mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris selepas sepakan bebas cantik Martin Odeegard membolehkan mereka menumpaskan Burnley 1-0 dalam aksi di tempat lawan sebentar tadi.
Selepas memulakan kempen dengan buruk, ini kali pertama anak-anak buah Mikel Arteta melakar dua kemenangan berturut-turut musim ini.
Odeegard mengambil sepakan dari jarak 25 ela untuk menewaskan tembok pertahanan tuan rumah pada minit ke-30, sekali gus membuka akaun jaringannya bersama Gunners sejak menyertai kelab London itu secara tetap dari Real Madrid, Ogos lalu.
Kalah tiga kali berturut-turut dalam aksi pembukaan liga, iaitu rekod terburuk mereka sejak 67 tahun, kemenangan ke atas Burnley mengurangkan tekanan Arteta yang sebelum ini berdepan risiko dipecat.
Jurulatih dari Sepanyol itu juga memberi penampilan pertama buat Thomas Partey musim ini, selain menurunkan Emile Smith Rowe.
Biarpun benteng Arsenal diuji oleh dua penyerang lawan, Ashley Barnes dan Chris Wood di awal permainan, namun secara keseluruhan tidak banyak ancaman dilancarkan ke kubu Gunners.
Kemenangan kedua musim ini membolehkan Arsenal naik ke tangga ke-12 liga dengan enam mata. – AGENSI