PARIS: Neymar menjadi sasaran kritikan media Perancis selepas didakwa gagal mengekalkan berat badan ideal.
Fizikal pemain berusia 29 tahun itu kelihatan berisi ketika beraksi untuk Brazil dalam kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Chile kelmarin.
Media Perancis sebelum ini turut mendakwa Neymar terlebih berat badan ketika kelabnya, Paris Saint-Germain (PSG) menang ke atas Reims, minggu lalu.
“Adakah kami bermain dengan baik? Tidak. Adakah kami menang? Ya!
“Baju itu bersaiz L. Saya berada pada berat badan ideal. Perlawanan seterusnya saya akan tempah baju saiz M,” kata Neymar di Instagram.
Selepas menang 1-0 ke atas Chile, Brazil memiliki dua lagi perlawanan kelayakan, termasuk berdepan Argentina esok.
Pasukan itu kemudian bertemu Peru sebelum Neymar balik ke pangkuan PSG untuk bertemu Clermont Foot. – AGENSI