SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) menamatkan penantian sembilan tahun tanpa sebarang kejuaraan apabila menjulang trofi Liga Perdana sebentar tadi.
Kemenangan 4-2 ke atas PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dekat sini sekali gus meninggalkan pencabar terdekat, Sarawak United dan Terengganu FC II.
Kejayaan tersebut merupakan pelengkap kepada kejayaan Negeri Sembilan selepas layak beraksi di Liga Super musim hadapan, malah trofi pertama skuad Hobin Jang Hobin sejak muncul juara Piala Sumbangsih 2012.
NSFC memulakan jaringan menerusi sentuhan pemain tengah, R. Barathkumar pada minit ke-25 selepas situasi kelam kabut di depan pintu gol PDRM FC.
Hasil serangan berterusan, tuan rumah berjaya menambah gol kedua, apabila pemain PDRM FC, Muhamad Eskandar Ismail menjaringkan bola ke gawang sendiri pada minit ke-38.
Memasuki separuh masa kedua, NSFC menjaringkan gol ketiga pada minit ke-60 menerusi penyerang import, Alain Thierry Akono Akono yang menanduk masuk hantaran ketua pasukan, Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak.
Tiga minit kemudian, pelawat berjaya memperoleh jaringan, menerusi sentuhan G. Durrkeswaran yang mengambil kesempatan atas kelekaan pertahanan NSFC.
Perlawanan bertambah rancak apabila PDRM FC merapatkan kedudukan hasil serangan balas yang kemudian disudahkan dengan jaringan oleh Muhammad Azrie Reza Zamri pada minit ke-71.
Empat minit kemudian, NSFC menambah gol keempat menerusi tandukan pemain gantian, Mohammad Fahmi Faizal yang menewaskan Muhamad Hamka Daud di gawang PDRM FC.
Tuan rumah berpeluang menambah gol kelima apabila dianugerahkan sepakan penalti bagaimanapun gagal disudahkan oleh Mohamad Zaquan Adha.
Perlawanan terus berlangsung rancak namun sehingga tamat perlawanan keputusan kekal sekali gus NSFC memperoleh tiga mata dan dinobat juara Liga Perdana.
Tamat mengharungi 20 perlawanan NSFC memperoleh keseluruhan sebanyak 41 mata hasil 12 kemenangan, lima keputusan seri dan tiga kali kalah.