Nasib baik ada Ronaldo - Utusan Malaysia

Nasib baik ada Ronaldo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Ole Gunnar Solskjaer menganggap gol kemenangan Cristiano Ronaldo pada waktu kecederaan sebagai ‘momen terbesar’ buat Manchester United dan membantu mereka menundukkan Villarreal 2-1 dalam Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Selepas tewas mengejut 1-2 kepada Young Boys pada aksi pembukaan 15 September lalu, United amat memerlukan kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam Kumpulan F.

Malangnya, mereka bermula ‘langkah kiri’ apabila membenarkan Villarreal mendahului 1-0 menerusi Paco Alcacer pada minit ke-53.

PENYERANG Villarreal, Paco Alcacer (tiga, kiri) membuka jaringan pasukannya di Old Trafford. – AFP

Alex Telles tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-60, dan ketika perlawanan di Old Trafford seolah-olah bakal berakhir dengan seri, tendangan kaki kanan Ronaldo lima minit memasuki waktu kecederaan memberi kemenangan buat United.

“Keputusan yang amat penting buat pasukan dan mereka juga menunjukkan semangat juang tinggi.

“Kami berada dalam keadaan sukar pada perlawanan terakhir selepas kehilangan seorang pemain (Aaron Wan-Bissaka dibuang padang ketika tewas kepada Young Boys), jadi berjaya mengutip tiga mata di tempat sendiri hari ini sesuatu yang amat besar.

“Keadaan juga tidak mudah di Old Trafford, kami berusaha keras dan akhirnya bernasib baik. Apabila anda mempunyai Cristiano Ronaldo di atas padang, peluang sentiasa ada,” kata Solskjaer.

ALEX Telles meraikan jaringan penyamaan buat Manchester United. – AFP

Ronaldo, 36, bukan sahaja muncul penyelamat United, malah mencipta rekod membuat penampilan ke-178 dalam Liga Juara-Juara.

Pemenang gelaran Ballon d’Or lima kali itu tidak banyak melakukan percubaan sehinggalah dia menewaskan Geronimo Rulli untuk gol kelimanya dalam lima perlawanan bersama United musim ini.

Sementara itu, Villarreal yang menguasai permainan kecewa dan hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila terlepas tiga mata.

“Perlawanan sepatutnya milik kami. Kami hanya perlu mempertahankan kedudukan tetapi gagal melakukannya. Kami cemerlang, mendahului permainan, mencipta peluang dan lebih baik berbanding Manchester United di Old Trafford,” kata pertahanan Villarreal, Pau Torres. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya