KUALA NERUS: Penjaring terbanyak Liga Perdana, Jordan Mintah rela menahan sakit kecederaan siku demi merebut tempat dalam skuad Terengganu FC pada saingan Piala Malaysia yang membuka tirai hari ini.
Mintah tidak mahu melepaskan peluang membantu skuad kendalian Nafuzi Zain walaupun belum cergas 100 peratus dan tidak sempat diturunkan dalam aksi sulung Kumpulan B, menentang Kuching City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini.
Penyerang kelahiran Ghana itu berkata, anugerah Kasut Emas yang dikongsi bersama pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fernando Rodriguez menaikkan semangatnya untuk mempamer sentuhan jaringan.
“Jika diberi peluang mengetuai jentera serangan, saya mahu mengambil bahagian dalam Piala Malaysia dan bersedia diturunkan bila-bila masa.
“Walaupun kecederaan saya hanya dijangka pulih empat hingga enam minggu lagi tetapi selepas seminggu keadaan sudah rasa lebih baik jadi saya sanggup berkorban untuk pasukan,” katanya.
Mintah muncul penjaring terbanyak Liga Perdana walaupun hanya membuat 12 penampilan dengan mencetak 16 gol buat TFC II, selain turut meledak empat gol dalam Liga Super.