LONDON: Jurgen Klopp percaya Takumi Minamino berada di tempat yang ‘bagus’ selepas meledak dua gol ketika Liverpool menumpaskan Norwich 3-0 pada pusingan ketiga Piala Liga semalam.
Klopp membariskan skuad kedua dengan menurunkan remaja berusia 16 tahun, Kaide Gordon serta pemain 18 tahun, Conor Bradley dalam kesebelasan utama, dan kedua-duanya cemerlang di Carrow Road.
Minamino, 26, yang dihimpit kecederaan paha awal bulan ini membuat penampilan pertama pada musim baharu dengan meledak gol seawal minit keempat, selain menyempurnakan jaringan ketiga Reds, 10 minit sebelum tamat permainan.
Divock Origi yang membentuk formasi 4-3-3 dengan mengetuai serangan bersama Minamino dan Gordon turut memahat nama sebagai penjaring pada minit ke-50.
Kata Klopp, peka dengan keadaan sekeliling, bijak membaca permainan, miliki kelajuan serta penyudah tajam kekuatan Minamino, yang bukan saja boleh menguatkan serangan, malah bahagian tengah.
“Semua pemain mahu beraksi, begitu juga dia. Malang sekali, Takumi cedera selepas kembali dari tugasan antarabangsa bersama Jepun dan tidak dapat bermain pada awal musim kerana kurang cergas,
“Hari ini, dia menunjukkan karakter, manfaatkan peluang dan prestasi yang ditunjukkan amat penting buat kami,” kata Klopp.
Klopp juga kagum dengan prestasi dua pemain remaja yang diturunkan, terutama Gordon yang muncul pemain kelima termuda membuat penampilan bersama skuad senior.
Selain Gordon dan Bradley, yang beraksi di posisi bek kanan dan menjadi pemain Ireland Utara pertama bermain buat Reds sejak 1954, turut mencuri tumpuan Tyler Morton, 18, yang masuk pada babak kedua.
“Masih banyak yang perlu mereka pelajari, namun pemain-pemain ini menunjukkan potensi besar. Kami harus mengendalikan mereka dengan berhati-hati, terutama Kaide,” katanya. – AGENSI