BRUGES, Belgium: Senjata baharu Paris Saint-Germain (PSG), Lionel Messi sudah ‘tajam’ dan sedia membuat penampilan sulung bersama Paris Saint-Germain (PSG) di pentas Liga Juara-Juara menentang Club Brugge esok.
Pengendali PSG, Mauricio Pochettino berkata, bintang Argentina tersebut sudah menyesuaikan diri dan sedia untuk mempamer kehebatannya seperti biasa.
“Saya mungkin bukan individu yang tepat untuk menggambarkannya. Ramai lagi yang berkelayakan. Dia antara pemain terbaik dunia ketika ini.
“Sejak tiba di sini, Leo menyesuaikan diri dengan cepat dan berlatih dengan sangat baik. Dia cuba mendapatkan kualiti terbaik dengan kadar segera,” katanya.
Sementara itu, dalam satu lagi aksi tumpuan, Real Madrid berlepas ke Itali tanpa Gareth Bale selepas bintang Wales itu diketepikan daripada skuad yang bakal menentang juara Serie A, Inter Milan.
Bale turut digugurkan ketika Real menumpaskan Celta Vigo 5-2 dalam perlawanan La Liga kelmarin selepas dikatakan cedera pada sesi latihan.
Bekas bintang Tottenham itu cedera hamstring dan tidak akan kembali sehingga Oktober.
Pertembungan dua gergasi Eropah itu mengembalikan nostalgia 1964 apabila bertemu dalam final Piala Eropah buat kali pertama di Vienna yang menyaksikan Real kalah 3-1.
Bale, 32, diturunkan dalam tiga aksi La Liga, malah meledak gol ketika pasukannya seri 3-3 menentang Levante bulan lalu. – AGENSI