PARIS: Lionel Messi memilih waktu yang sempurna untuk meledak gol pertama bersama Paris Saint-Germain (PSG), iaitu membantu gergasi Perancis itu menewaskan pasukan bekas jurulatihnya di Barcelona, Pep Guardiola, Manchester City 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Bintang Argentina itu menampilkan prestasi cemerlang, terutama ketika bergandingan dengan Kylian Mbappe dalam kotak penalti sebelum memperdaya Aymeric Laporte dan merembat bola ke gawang lawan.
Ribuan penyokong di Parc des Princes bersorak sebaik sahaja pemenang anugerah Ballon d’Or enam kali tersebut menjaringkan gol pertamanya sejak menyertai PSG bulan lalu.
“Perkara paling penting adalah memenangi perlawanan menentang lawan hebat dan salah sebuah pasukan pilihan.
“Memang benar saya terdesak untuk menjaringkan gol pertama. Saya tidak banyak beraksi sejak kebelakangan ini dan hanya sekali bermain di tempat sendiri,” kata Messi kepada Canal Plus.
Idrissa Gana Gueye terbukti pemain terbaik PSG musim ini, dan bintang Senegal itu meletakkan tuan rumah di depan seawal minit kelapan.
City yang menewaskan PSG dalam separuh akhir musim lalu menguasai permainan dalam misi mencari gol penyamaan, namun beberapa peluang yang gagal disudahkan, termasuk tendangan Raheem Sterling serta Bernardo Silva terkena palang menyebabkan mereka buntu.
Messi akhirnya menceriakan ribuan penyokong tuan rumah ketika permainan memasuki minit ke-74 apabila meledak gol yang dicari-cari selama ini untuk memastikan kemenangan 2-0. – AGENSI