Mampukah wang bertukar menjadi trofi? - Utusan Malaysia

Mampukah wang bertukar menjadi trofi?

LIONEL Messi (kanan) belum pasti dapat diturunkan menentang Manchester City akibat kecederaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA ada pertandingan untuk perpindahan Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) pasti sudah muncul juara selepas berjaya mengumpulkan nama-nama besar seperti Lionel Messi, Sergio Ramos, Gianluigi Donnarumma dan Georginio Wijnaldum.

Gagal mempertahankan kejuaraan Ligue 1 musim lalu dan kempunan merangkul trofi Eropah, kemasukan nama-nama besar itu bergabung dengan bintang sedia ada seperti Neymar serta Kylian Mbappe meletakkan PSG pada kedudukan ‘wajib’ menang gelaran utama musim ini, sekurang-kurangnya di mata penyokong mereka.

Selain PSG, kepulangan Cristiano Ronaldo ke Manchester United turut mencuri tumpuan biarpun pemenang Ballon d’Or lima kali itu sebenarnya sudah sebelah kaki menghampiri Manchester City dan menukar keputusan saat akhir kerana cair dengan pujukan Alex Ferguson.

Biarpun pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap kewangan kebanyakan kelab bola sepak seluruh dunia, namun beberapa gergasi Eropah tampak ‘kebal’ sama ada berbelanja besar untuk membeli pemain atau membayar gaji tinggi bagi memikat pemain.

City membawa masuk Jack Grealish dengan rekod perpindahan Britain 100 juta pound (RM273 juta) daripada Aston Villa manakala Chelsea membayar 97.5 juta pound (RM558.47 juta) kepada Inter Milan untuk kembali mendapat khidmat Romelu Lukaku.

PARIS SAINT-GERMAIN

LEGENDA Sepanyol dan Real Madrid kini di PSG.

APAKAH kehadiran ramai bintang Eropah, terutama Messi dan Ramos diharap mampu merubah nasib PSG untuk merangkul kejuaraan Eropah buat kali pertama.

Mungkin pemain-pemain ini diperoleh secara percuma, namun gaji mereka tidak murah. Messi, 34, dilaporkan menerima 41 juta euro (RM201.88 juta) setahun, manakala Ramos 21 juta euro (RM103.40 juta).

Donnarumma dan Wijnaldum masing-masing menikmati 12 juta euro (RM59.09) dan 9.8 juta euro (RM48.25 juta) setahun. Secara keseluruhan, PSG membayar 300 juta euro (RM1.47 bilion) setahun untuk gaji pemain.

MANCHESTER UNITED

CRISTIANO RONALDO

PEMBELIAN besar pertama yang dilakukan United adalah membawa masuk pemain sayap Borussia Dortmund, Jadon Sancho pada harga 85 juta euro (RM418.53 juta).

Tidak berhenti di situ, Red Devils yang sudah lapan musim tidak memenangi Liga Perdana Inggeris turut membawa masuk bek tengah kelas dunia, Raphael Varane dari Real Madrid untuk menguatkan cabaran.

Begitupun, kepulangan Ronaldo, 36, ke Old Trafford adalah kemuncak urus niaga juara liga 20 kali itu. Persoalannya kini, apakah dia ‘secocok’ dengan taktikal Ole Gunnar Solskjaer?

CHELSEA

ROMELU LUKAKU

SETAKAT ini, Lukaku berjaya menyesuaikan diri di bawah bimbingan Thomas Tuchel, termasuk menjaringkan satu gol ketika Blues menewaskan Arsenal 2-0, malah Chelsea menutup jendela perpindahan dengan kehadiran bintang tengah Atletico Madrid, Saul Niguez secara pinjaman.

Kelab London itu juga melakukan beberapa urus niaga yang baik apabila menjual Tammy Abraham kepada Roma dengan harga 40 juta euro (RM196.95 juta) dan Kurt Zouma pergi ke West Ham menerusi 30 juta pound (RM147.72 juta).

MANCHESTER CITY

JACK GREALISH

PEMAIN sayap England, Grealish adalah satu-satunya kegembiraan City dalam pasaran perpindahan musim panas selepas misi mendapatkan Harry Kane daripada Tottenham gagal, manakala United ‘mencantas’ usaha mereka membawa masuk Ronaldo.

Selepas memulakan musim baharu dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada Tottenham, skuad The Citizens mula mempamer taring sebenar dengan membelasah Norwich dan Arsenal 5-0 dalam dua aksi terakhir liga.

Grealish semakin menunjukkan keserasian, manakala pemain sedia ada seperti Raheem Sterling, Ilkay Gundogan, Ferran Torres dan Gabriel Jesus membuktikan mengapa City tidak perlu panik selepas gagal mendapatkan ‘senjata’ tambahan.

GERGASI YANG ‘SUNYI’

ANTOINE GRIEZMANN

BARCELONA, Real Madrid dan Liverpool antara pasukan gergasi yang agak ‘sunyi’ dalam pasaran perpindahan.

Sudahlah tidak melakukan pembelian besar, Barcelona melepaskan Antoine Griezmann kepada Atletico Madrid secara pinjaman. Nama besar yang dibawa masuk gergasi Catalan itu hanyalah pemain tidak ‘dikehendaki’ City, Sergio Aguero.

Real pula gagal dalam usaha mendapatkan Mbappe selepas tawaran 200 juta euro (RM984.84 juta) ditolak PSG, manakala satu-satunya pembelian utama dilakukan Liverpool pula adalah membawa masuk bek tengah, Ibrahima Konate dari RB Leipzig pada harga 36 juta pound (RM206.33 juta).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya