PETALING JAYA: Penunggang remaja negara cemerlang di Belanda apabila meraih pingat perak berpasukan dalam Kejohanan Kuda Lasak Remaja Dunia di Belanda, semalam.
Dibarisi Muhammad Faris Haikal Hassan Sa’ari, Yusuf Luqman Zakaria, Nur Qasrina Amani Zakaria, An-Nur Imran Eirfan Anuwar dan Anfal Insyirah Abu Talib memulakan saingan pada pukul 7 pagi waktu tempatan.
Mereka menempuhi laluan berbatu dan berpasir sejauh 120 kilometer (km) yang dibahagikan kepada empat fasa.
Pengurus pasukan, Wan Mohd. Kamaluddin Wan Yussof berkata, dalam fasa pertama pasukan negara dikejutkan dengan penyingkiran seorang penunggang apabila kudanya menghadapi masalah kesihatan.
Bagaimanapun, cabaran diteruskan di fasa kedua denga empat penunggang lain di kedudukan keenam dengan membuat strategi baharu.
Pasukan Malaysia akhirnya berjaya berada di kedudukan kedua pada fasa terakhir ketika saingan berbaki 10km.
“Kejayaan Malaysia mengatasi bekas juara-juara dunia dan juga negara-negara besar dalam sukan kuda lasak seperti negara-negara seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sepanyol, Itali, Brazil,
Jerman, Amerika Syarikat (AS), Belgium dan Belanda sangat hebat.
“Kejayaan ini amat membanggakan kerana ini adalah kali pertama Malaysia meraih kedudukan podium sejak membuat penampilan sulung dalam kejohanan itu pada 2013.
“Penunggang berjaya mengekalkan tunggangan terbaik mereka di dalam jarak sejauh 120km mengharungi trek berbatu dan berpasir,” katanya.