LONDON: Chelsea menerima perkhabaran baik menjelang pertemuan menentang Juventus dalam Liga Juara-Juara esok apabila dua tonggak serangan lawan, Paulo Dybala dan Alvaro Morata sah tidak dapat beraksi akibat kecederaan.
Dybala meledak gol sensasi ketika skuad Old Lady menumpaskan Sampdoria 3-2 dalam saingan Serie A, Ahad lalu sebelum dikeluarkan pada babak kedua dengan menahan sakit di paha kiri.
Morata dibawa masuk ketika permainan berbaki lapan minit menggantikan Moise Kean, namun terpaksa melupakan pertemuan dengan bekas pasukannya, Chelsea akibat masalah hamstring.
“Ujian diagnostik dilakukan pagi ini (semalam) di J Medical. Hasil laporan menunjukkan Alvaro Morata mengalami kecederaan otot paha kanan.
“Paulo Dybala pula berdepan masalah otot di paha kiri. Kedua-duanya tidak dapat diturunkan sehingga hujung minggu ini,” kata Juventus dalam satu kenyataan.
Bertambah malang buat skuad bimbingan Massimiliano Allegri, mereka tidak dapat menurunkan bintang tengah, Arthur Melo yang terbabit dalam kemalangan kereta baru-baru ini, manakala situasi Adrien Rabiot masih 50-50.
Ketika krisis kecederaan menghimpit Dybala dan Morata, Kaio Jorge sepatutnya boleh digunakan, malangnya penyerang Brazil itu tidak didaftar untuk Liga Juara-Juara.
BLUES BUAT PERTUKARAN
Chelsea yang mengalami kekalahan pertama musim ini selepas tumpas 0-1 kepada Manchester City pada aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu dijangka melakukan beberapa pertukaran untuk bangkit.
Pengendali Blues, Thomas Tuchel mempunyai beberapa pilihan di benteng dan mungkin menyenaraikan Thiago Silva dalam kesebelasan utama, bergantung kepada kecederaan Reece James.
Callum Hudson-Odoi berpeluang mengisi jentera serangan, manakala Mason Mount dan N’Golo Kante perlu bersaing sesama sendiri untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Bintang Belgium, Romelu Lukaku akan terus mengetuai serangan Blues, manakala Kean menjadi pemimpin jentera serangan Juventus.
Turun selaku juara bertahan, Chelsea sekadar menang tipis 1-0 ke atas Zenit dalam aksi sulung Kumpulan H, Rabu lalu.
Juventus pula membenam kelab Sweden, Malmo FF 3-0. – AGENSI