LONDON: Lionel Messi akhirnya memecah kebuntuan dengan meledak gol pertama bersama Paris Saint-Germain (PSG) ketika membantu gergasi bola sepak Perancis itu menumpaskan Manchester City 2-0 dalam aksi Liga Juara-Juara semalam.
Bintang Argentina itu memilih saat paling tepat untuk membuka akaun jaringan berdepan skuad bimbingan Pep Guardiola pada minit ke-74, namun ada situasi kurang ‘menyenangkan’ berlaku di Stadium Parc des Princes dan menarik perhatian peminat bola sepak.
Di hujung permainan, City dihadiahkan sepakan bebas dan PSG membina benteng pemain, di mana Messi ditugaskan berbaring di belakang rakan-rakan sepasukannya – tugas yang tidak pernah diberikan Barcelona atau Argentina kepadanya.
Legenda Manchester United, Rio Ferdinand antara yang amat terkejut melihat pemenang Ballon d’Or enam kali itu berbaring di belakang barisan pemain yang membuat benteng.
“Ketika Mauricio Pochettino (jurulatih PSG) meminta dia berbaring untuk membentuk tembok pemain, seseorang patut tampil dan beritahu ‘tidak, tidak, ia tidak sepatutnya dilakukan Leo Messi’.
“Anda tidak boleh buat begitu. Ia tidak menghormatinya, saya tidak tergamak menyuruhnya melakukan perkara itu. Jika saya ada dalam pasukan, saya akan kata ‘biar saya berbaring untuk anda’.
“Saya tak sanggup melihat dia berbaring begitu. Jersinya tidak patut kotor (dengan cara itu). Itu bukan tugas Messi.” katanya.