LIVERPOOL: Jaringan cantik Jordan Henderson iaitu gol pertamanya buat Liverpool di pentas Eropah sejak tujuh tahun memastikan Reds melakar kemenangan 3-2 ke atas AC Milan dalam aksi mencemaskan Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi tadi.
Pertemuan itu mengimbau final bersejarah Liga Juara-Juara di Istanbul 2005, yang menyaksikan Reds bangkit daripada ketinggalan 0-3 kepada Milan sebelum menang menerusi penentuan sepakan penalti untuk menjulang kejuaraan Eropah buat kali kelima.
Bezanya, aksi Liverpool kali ini jauh lebih meyakinkan dan mereka sepatutnya mampu menumpaskan Milan dengan mudah selepas menguasai perlawanan di Anfield.
Bagaimanapun kesilapan benteng pertahanan, yang beraksi tanpa Virgil van Dijk menyebabkan Reds berdepan detik mencemaskan biarpun membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi jaringan sendiri Fikayo Tomori yang diberi tekanan oleh Trent Alexander-Arnold.
Liverpool juga berpeluang menambah jaringan menerusi Mohamed Salah, namun sepakan penalti bintang Mesir itu diselamatkan oleh Mike Maignan.
Ketika Reds dilihat menguasai permainan dan mampu meledak lebih banyak gol, dua gol pantas yang disempurnakan oleh Ante Rebic dan Brahim Diaz pada minit ke-42 serta 44 mengejutkan tuan rumah.
Begitupun, Salah memastikan Liverpool bangkit dengan meledak gol penyamaan hanya tiga minit selepas memasuki separuh masa kedua, sebelum kapten, Henderson melakukan rembatan cantik untuk memberi kemenangan selayaknya buat Reds pada minit ke-69.
“Perlawanan yang menarik, amat menarik dan menghiburkan. Kami hilang plot dalam 10 hingga 15 minit.
“Bagaimanapun akhirnya kami kembali menemui rentak, menguasai semula perlawanan dan meraih tiga mata yang sepatutnya,” kata pengendali Liverpool, Jurgen Klopp.
Keputusan seri 0-0 di antara Atletico Madrid dan Porto dalam satu lagi perlawanan bermakna Liverpool kini menerajui Kumpulan B, permulaan yang baik selepas berada dalam kumpulan ‘maut’.
“Kami berada dalam kumpulan yang amat sukar, berkualiti. Setiap mata sangat penting untuk melepasi peringkat awal,” kata Klopp.
Reds memberi tekanan sejak awal dan percubaan Alexander-Arnold dari bek kanan mendorong Tomori melakukan kesilapan dengan menjaringkan gol sendiri.
Salah sepatutnya mampu menjadikan kedudukan 2-0 menerusi sepakan penalti pada mnit ke-14 selepas tendangan Andy Robertson terkena tangan Ismael Bennacer dalam kotak penalti.
Bintang Mesir itu yang telah menyempurnakan 17 sepakan penalti berturut-turut buat Liverpool sejak 2017 bagaimanapun dikecewakan oleh Maignan.
Pasukan pelawat yang amat terasa dengan ketiadaan Zlatan Ibrahimovic akibat kecederaan bagaimanapun melancarkan serangan balas yang mengejutkan Reds dan menghukum kealpaan tuan rumah yang ghairah untuk menyerang.
Jaringan Rebic dan gol Diaz hampir memberi kemenangan sempurna buat juara tujuh kali, Milan yang kembali ke pentas Liga Juara-Juara sejak 2014, namun aksi baik yang dipertontonkan Reds pada babak kedua memastikan tiada kejutan buat juara enam kali itu. – AGENSI