PETALING JAYA: Cheah Liek Hou melakar sejarah muncul pemain Malaysia pertama memenangi pingat emas acara badminton, yang membuat kemunculan sulung dalam Sukan Paralimpik selepas memenangi perlawanan akhir perseorangan lelaki SU5 di Tokyo sebentar tadi.
Turun sebagai pemain No. 2 dunia, Liek Hou menewaskan pemain No. 1 dunia yang juga musuh tradisinya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi 21-17, 21-15 di Stadium Kebangsaan Yoyogi.
Liek Hou, 33, menghadiahkan pingat emas kedua buat Malaysia di temasya Tokyo 2020 selepas jaguh powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin memenangi emas pertama minggu lalu.
Just look what it means ? #MAS #Tokyo2020 #Paralympics #ParaBadminton @TeamMsia pic.twitter.com/ralFbe3zyE
— Paralympic Games (@Paralympics) September 4, 2021
Liek Hou membuktikan kecemerlangannya dengan mengawal permainan sejak awal berjaya meraih kemenangan 21-17 dalam tempoh 22 minit di set pertama.
Bagaimananpun pada set kedua, Anrismusthi yang 10 tahun lebih muda dari jaguh negara mengejar permainan dan menyamakan kedudukan 10-10, namun pengalaman Liek Hou membolehkannya menang 21-15.
Kejayaan itu membolehkan Malaysia semakin hampir untuk mencapai sasaran tiga emas di temasya itu dengan Latiff Romly akan turun beraksi dalam acara lompat jauh T20, petang ini.