PETALING JAYA: Insiden yang menimpa rakan baiknya, Muhammad Ziyad Zolkefli mendorong Abdul Latif Romly berhati-hati ketika turun dalam acara lompat jauh T20 dengan tiba awal di bilik menunggu sebelum akhirnya mempertahankan pingat emas Sukan Paralimpik kelmarin.
Insiden yang menimpa Ziyad yang dibatalkan penyertaannya dalam acara lontar peluru akibat tiba lewat menjadi pengajaran buat Latif untuk tidak mengulangi kejadian malang itu, apatah lagi dia adalah prospek emas.
“Saya datang lima minit awal ke call room, sebab saya tidak mahu kejadian sama berulang,” katanya yang berjaya memenuhi misi mempertahankan kejuaraan biarpun berdepan detik cemas apabila tercedera ketika melakukan lompatan kelima.
Kata Latif, 24, misi mempertahankan emas bukan dilakukan kerana mahu menebus kekecewaan Ziyad, sebaliknya dia hanya fokus kepada diri sendiri dan enggan memberi tekanan tidak sepatutnya.
“Ziyad tidak beri tekanan kepada saya, cuma dia minta saya buat yang terbaik. Saya pun jadi sedih apabila melihat dia sedih.
“Begitupun sejujurnya, saya enggan terlalu memikirkan mengenai Ziyad kerana kalau fikirkan ‘member’ takut saya stress, saya hanya menikmati pertandingan,” katanya.
Latif berkata, dia tidak pasti berada lama masa diperlukan untuk pulih daripada kecederaan pangkal paha, selain mengakui sangat sedih kerana gagal memecah rekod dunia.
“Saya datang ke Tokyo dengan matlamat ingin memecah rekod dunia sebab semasa latihan saya pernah lakukan 7.91m, jadi saya yakin boleh lompat 8 meter tetapi cedera.
“Masa lompatan keempat dah tergelincir, masa lompatan kelima ketika nak melompat rasa sakit di pangkal paha.
“Nak jalan pun tidak boleh sebab sakit sangat, saya balik naik kerusi roda,” kata atlet kelahiran Perlis itu.