PETALING JAYA: Kuala Lumpur City (KL City) menangguhkan hajat Kedah untuk muncul naib juara Liga Super selepas melakar kemenangan 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sebentar tadi.
Kekalahan 0-1 Terengganu kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu lagi saingan akan membolehkan Kedah mengesahkan kedudukan kedua jika menewaskan skuad The City Boys.
Bagaimanapun sepakan penalti yang disempurnakan Romel Morales seawal minit keenam, selain jaringan Safee Sali pada minit ke-26 memberi tiga mata berharga buat Kuala Lumpur.
Kedah cuba bangkit menerusi jaringan Tchetche Kipre pada minit ke-34, namun tiada gol tambahan berjaya disempurnakan oleh anak-anak buah Aidil Sharin Sahak.
Biarpun rekod lima perlawanan tanpa kalah skuad Hijau Kuning lebur, namun mereka masih kekal di tangga kedua dengan dua mata mengatasi pasukan ketiga, Terengganu.
Kedah juga masih mempunyai baki dua perlawanan untuk diharungi berbanding skuad Penyu hanya memiliki sau baki saingan.