IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kecewa dengan kegagalan Perak FC bertahan dalam Liga Super apabila kalah 1-2 kepada Melaka United semalam.
Kekalahan itu menyebabkan Perak pertama kali terjunam ke Liga Perdana.
Ahmad Faizal yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata, tiada perkataan yang dapat diberikan untuk menggambarkan kekecewaan yang beliau rasai.
Menurutnya, sepatutnya perkara itu tidak berlaku jika Perak FC mengikuti nasihat yang telah beliau berikan.
Aku tak faham! Kerja cukup senang, ikut je le nasihat, selesai masalah. Kome lampo pandei!! Kan dah terjunam??
— Faizal Azumu (@PejaOfPerak) September 3, 2021
“Aku tak faham! Kerja cukup senang, ikut je le nasihat, selesai masalah. Kome lampo pandei (kome terlalu pandai), kan dah terjunam.
“Perak FC… Tak ada perkataan untuk ku curahkan perasaan!,” katanya dalam laman Twitternya.
Ahmad Faizal berkata, pihak pengurusan telah melakukan yang terbaik dan bukan salah mereka.
“Kepada pemain, saya minta maaf. Tak banyak yang dapat saya lakukan. Saya doakan yang terbaik. Apabila jatuh, bangkit semula.
“Tidak lama lagi anda akan berada di sana, di puncak,” katanya.
Perak FC sah turun ke Liga Perdana musim depan apabila tumpas 2-1 kepada Melaka United kelmarin.
Walaupun masih berbaki satu perlawanan iaitu menentang Sabah tetapi ia sudah tidak mempunyai erti terhadap peluang Perak.
Jika menangpun Perak hanya mempunyai maksimum 16 mata. Lantaran itu tidak mampu memintas pencabar di atasnya, PJ City dan Sri Pahang yang sudah mengutip 18 mata.