LONDON: Aksi cemerlang Takumi Minamino meledak dua gol ketika Liverpool menumpaskan Norwich City 3-0 pada pusingan ketiga Piala Liga awal pagi tadi memberi lebih banyak pilihan buat Reds.
Bintang Jepun itu yang dipinjamkan kepada Southampton pada separuh musim lalu memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi untuk mencuri tumpuan pengendali pasukan, Jurgen Klopp.
Sejak kembali ke Anfield, Minamino disisihkan daripada pasukan, malah langsung tidak mendapat peluang beraksi pada musim baharu.
Klopp bagaimanapun melakukan rombakan besar dalam skuad Piala Liga yang menyaksikan pemain berusia 26 tahun itu mengisi kesebelasan utama, dan dia menunjukkan prestasi memberangsangkan.
Minamino membuka jaringan di Carrow Road seawal minit keempat selepas melakukan rembatan cantik yang berpunca dari sepakan penjuru.
Divock Origi menggandakan kedudukan lima minit memasuki babak kedua, sebelum Minamino meledak gol ketiga pasukan menewaskan penjaga gol lawan, Angus Gunn.
Klopp memberi bayangan, Minamino telah membuktikan dia bukan sahaja mampu bermain sebagai penyerang, malah pilihan di bahagian tengah.
“Taki mempamer permainan hebat dan kami menukarnya ke bahagian tengah di babak kedua kerana dia sedang berada pada prestasi terbaik.
“Dia bijak mencari ruang dan terlibat dalam semua hantaran dengan Tyler (Morton) serta Ox (Alex Oxlade-Chamberlain).
“Kami boleh menggunakan kelajuannya, malah jaringan pertama Taki sangat hebat. Dia seorang pemain yang bijak, peka, malah saya tidak tahu bagaimana dia boleh menyudahkan gol,” kata Klopp. – AGENSI