BRENTFORD: Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp tidak gembira dengan penyudah pasukannya ketika seri 3-3 dengan Brentford kerana percaya mereka sepatutnya meledak lebih banyak gol dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Mohamed Salah turut melepaskan peluang keemasan untuk menjadikan kedudukan 4-2, dan Klopp merasakan bintang Mesir itu sepatutnya memiliki penyudah yang lebih tajam biarpun dia turut menjaringkan gol dalam aksi tersebut.
Reds ketinggalan 0-1 selepas Ethan Pinnock meletakkan tuan rumah di depan menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-27, namun Diogo Jota menyamakan kedudukan empat minit kemudian.
Memasuki babak kedua, Salah menjaringkan gol Liga Perdana ke-100 bersama Liverpool untuk Reds mendahului 2-1, namun Vitaly Janelt menyamakan kedudukan 2-2 di minit ke-63.
Rembatan kencang Curtis Jones pada minit ke-67 kembali meletakkan Liverpool mendahului 3-2, tetapi pemain gantian, Yoane Wissa memastikan Brentford berkongsi satu mata berharga dengan menyamakan kedudukan, lapan minit sebelum tamat permainan.
Liverpool kekal mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kelebihan satu mata selepas Chelsea dan Manchester United tumpas dalam perlawanan masing-masing semalam.
“Saya tidak pasti sama ada saya menikmati perlawanan ini kerana ia penuh debaran. Permainan sangat mencemaskan dan mereka (Brentford) berhak meraih tiga gol melihat cara mereka bermain.
“Jelas sekali kami gagal menangani situasi hantaran jauh dengan baik hari ini. Kami patut menjaringkan lebih banyak gol selepas menerima banyak peluang hebat. Pada babak kedua, saya tidak ingat peluang lain yang dicipta pasukan lawan kecuali jaringan mereka.
“Mereka memang berhak. Secara ofensif atau bersama bola, saya rasa kami tidak dapat mengendalikan lawan dengan baik, kami mencipta banyak peluang yang jelas. Kami bermain dengan sangat menyerang tetapi tidak bertahan dengan bagus.
“Kalau kami menang 3-2 atau 4-3, ia tetap jelas kami bergelut untuk bertahan dengan baik. (Ivan) Toney dan (Bryan) Mbuemo amat bagus. Brentford berhak mendapat mata.
“Mo (Salah) sangat bijak di depan gol, dia pemain bola sepak yang hebat. Mo biasanya menjaringkan gol dalam banyak situasi sukar tetapi bukan hari ini. Tiada apa yang hendak diperkatakan tentang perkara itu,” kata Klopp.
Brentford yang dibimbing Thomas Frank kini berada di tangga kesembilan liga selepas tewas hanya sekali dalam enam perlawanan awal liga. – AGENSI