PETALING JAYA: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) tidak mempunyai pilihan selain kemenangan sekiranya mahu menamatkan saingan Liga Super musim ini sebagai naib juara di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menanti kunjungan pasukan tercorot liga, UiTM FC di Stadium Darul Aman, malam ini, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dijangka tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan namun mereka tidak boleh mengambil mudah cabaran lawannya itu.
Bagi pemain sayap Kedah, Syazwan Zainon atau lebih dikenali Wan Karpet dua perlawanan terakhir ini sangat penting untuk menamatkan saingan liga sebagai naib juara.
Tambahnya, UiTM pasti akan memberi tentangan sengit walaupun telah tersingkir ke kancah Liga Perdana dan mereka telah membuktikan ketika tewas tipis 1-0 di laman sendiri pada aksi pusingan pertama.
“Tiada jalan mudah buat Kedah menjelang perlawanan dengan UiTM walaupun ramai yang berkata tiada masalah kepada kami untuk menang kerana berdepan dengan lawan yang telah tersingkir ke Liga Perdana.
“Berdasarkan pengalaman, pasukan yang berada di bawah sering kali akan beraksi dengan bersungguh-sungguh apabila bertemu dengan pasukan yang berada di tangga atas.
“Saya sudah mengkaji corak permainan UiTM semasa menentang PJ City baru-baru ini, saya fikirkan lawan ada skuad yang baik tambahan mereka kebelakangan ini sudah meraih dua kemenangan.
“Kami tidak boleh keciciran sebarang mata dalam baki dua perlawanan yang tinggal ini kerana boleh jejaskan peluang kami ke Piala AFC kerana kedudukan kami sedang diekori rapat oleh Penang dan Terengganu,” katanya
Sekiranya kemenangan memihak kepada Kedah maka mereka akan melonjak ke tangga kedua liga mengatasi Penang FC dengan kelebihan dua mata namun ia belum cukup untuk mengesahkan tempat kedua.
Sebaliknya, gelaran naib juara dan ketiga liga hanya akan diketahui pada perlawanan terakhir liga yang menyaksikan enam aksi dilangsungkan serentak pada Ahad ini.