Kedah mudah benam Kelantan United - Utusan Malaysia

Kedah mudah benam Kelantan United

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menepati ramalan sebagai pasukan pilihan Kumpulan C Piala Malaysia apabila mudah menewaskan pasukan dari Liga Premier, Kelantan United FC 3-0 di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Seawal minit ke-12, pasukan tuan rumah sudah pun membuka jaringan setelah penjaga gol pelawat, Mohammad Fikri Che Soh tersilap jangkaan ketika hendak mengeluarkan hantaran jauh ketua pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar.

Sepakannya yang tidak mengena, menyebabkan bola disambar pemain sayap berpengalaman Kedah, Syazwan Zainon yang mudah merembat leret ke gawang tidak dikawal, untuk gol pertama perlawanan.

Selepas itu, satu demi satu peluang terus dihasilkan oleh jentera tengah Kedah diketuai kapten mereka, Baddrol Bakhtiar namun barisan penyerang gagal menambah jaringan.

Rembatan Tchetche Kipre dari dalam kotak penalti pada minit ke-17, tepat ke dakapan penjaga gol lawan manakala percubaannya pada minit ke-22 pula melepasi palang gol.

Gandingan Kipre di bahagian serangan, Kpah Sherman turut memiliki peluang untuk menambah jaringan namun sepakannya pada minit ke-24, tersasar ke kiri pintu gol lawan walaupun hanya berdepan satu sama satu dengan Mohammad Fikri.

Gol kedua Kedah bagaimanapun berjaya dijelmakan pada minit ke-45 apabila pemain pertahanan mereka, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali bijak melakukan hantaran kepada Kipre yang berada berdekatan pintu gol lawan untuk pemain dari Ivory Coast itu mudah melakukan jaringan.

Memasuki babak kedua, pasukan pelawat terlebih dulu mendatangkan ancaman apabila tandukan penyerang import mereka, Alfusainey Gassama singgah ke palang gol pasukan tuan rumah pada minit ke-55.

Keadaan itu bagaimanapun tidak langsung merencatkan perancangan Kedah dengan Syazwan berjaya menggegarkan jaring lawan untuk gol ketiga tuan rumah setelah menyempurnakan umpanan dari Kipre, dua minit kemudian.

Ketinggalan 3-0 bagaimanapun masih belum ‘membunuh’ semangat Kelantan United untuk mencari jaringan.

Beberapa peluang berjaya dicipta namun para para pemain mereka terutamanya Alfusainey, gagal memanfaatkan peluang tersebut.

Pada minit ke-67, pemain dari Gambia itu sekadar melakukan tolakan lemah yang tepat menuju ke penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim ketika kedua-dua mereka berdepan satu sama satu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya