ALOR SETAR: Kedah tetap menghormati Melaka United walaupun memiliki beberapa kelebihan apabila kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman malam ini.
Menurut pengendalinya, Aidil Sharin Sahak, beliau tidak mahu sama sekali pemainnya memikirkan mengenai kelebihan yang ada kerana mereka seharusnya memberi fokus kepada persembahan sendiri.
Katanya, kalangan pemain perlu sedar betapa Melaka United bukan lagi pasukan sama yang mereka tewaskan 4-1 dalam perlawanan terakhir Liga Super sebelum ini.
“Pertamanya kita perlu ingat bahawa Melaka United yang akan kita temui dan Kelantan United yang kita tewaskan Isnin lalu merupakan dua pasukan yang sangat berbeza. Bagi saya kelebihan yang dilihat ramai orang untuk kami berdepan Melaka United cuma berada di atas kertas.
“Saya yakin Melaka akan tampil dengan aksi berbeza pada malam esok berbanding pertemuan terakhir menentang kami sebelum ini. Sebab itu saya katakan, kami tak boleh turun ke padang dengan mentaliti kami memiliki kelebihan berbanding mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Selain rekod pertemuan lalu yang memihak Kedah, kelebihan tampak menyebelahi pasukan dari utara tersebut memandangkan Melaka United perlu mengharungi perjalanan jauh untuk berkunjung ke Stadium Darul Aman, selepas hanya empat hari menentang juara Liga Perdana, Negeri Sembilan.
Mengulas lanjut Aidil berkata, pengalaman dilalui anak-anak buahnya sendiri dalam mengharungi perlawanan-perlawanan terakhir Liga Super, seharusnya dijadikan ingatan dalam berdepan situasi sedemikian.
“Pada penghujung Liga Super musim ini, anda dapat lihat bagaimana kami mengharungi perlawanan berturut-turut dalam masa cukup singkat tetapi masih mencatat kemenangan.
“Jadi adalah lebih baik untuk kami tidak memikirkan mengenai kepenatan dihadapi Melaka akibat perjalanan atau apa yang dilalui mereka dalam perlawanan sebelum ini sebaliknya fokus kepada taktikal kami sendiri,” katanya.