KBS akan minta gimnasium dibuka segera - Ahmad Faizal - Utusan Malaysia

KBS akan minta gimnasium dibuka segera – Ahmad Faizal

AHMAD Ahmad Faizal Azumu (tiga dari kiri) dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi ketika hadir melawat PPV Pandu Lalu OKU Sentral di Pusat Akuatik MBJB Arena Larkin hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengemukakan cadangan pembukaan semula gimnasium di seluruh negara dengan mengenakan prosedur operasi standard (SOP) ketat pada mesyuarat Kabinet esok.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap cadangan itu dapat dipertimbangkan setelah kerajaan bersetuju melonggarkan SOP Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) buat industri kreatif terutama kebenaran menonton di panggung wayang.

Jelasnya, cadangan tersebut bagaimanapun perlu melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan pelaksanaan SOP yang ketat.

“Kita berharap cadangan ini mendapat sokongan daripada pihak-pihak lain untuk memungkinkan operator gimnasium di seluruh negara dapat bernafas setelah perniagaan mereka dibuka semula.

“Kita tidak boleh buka (gimnasium) sewenang-wenangnya, tetapi, SOP yang ketat perlu diadakan. Saya percaya, jika boleh buka panggung wayang yang bukan satu keperluan tetapi kita tidak benarkan pembukaan gimnasium.

“Ramai yang kata ini (buka gimnasium) bukan keperluan dan hanya cara hidup tetapi bezanya orang yang duduk panggung wayang dengan orang yang pegi gimnasium, orang pergi gimnasium (lebih) menitikberatkan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral di Pusat Akuatik Arena Larkin di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal dalam ciapan di Twitter memaklumkan KBS telah mencadangkan agar sukan padang (outdoor sports) dan gimnasium dibuka dan berharap mendapat sokongan KKM.

Beliau berkata, cadangan berkenaan diharap dapat dipertimbangkan demi kelangsungan hidup mereka yang terlibat.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, mereka yang pergi ke gimnasium lebih menitikberatkan soal kesihatan dan pastinya akan mematuhi semua peraturan serta SOP ditetapkan.

“Cadangan berkenaan juga akan disuarakan kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang akan membawanya dalam mesyuarat khas MKN agar ia dapat dipertimbangkan,” katanya.

Katanya, bukan sahaja pemilik gimnasium yang terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat beroperasi malah jurulatih turut terkesan apabila gimanasium tidak dibuka.

Bagi mereka yang terlibat dalam sukan ini, katanya, mereka perlu teruskan kerana kalau tak badan akan terkesan kalau tidak terus berlatih.

“Ratu gimnastik artistik negara, Farah Ann Abdul Hadi dan atlet gimnastik artistik lelaki negara, Jeremiah Loo membuat kunjungan hormat di pejabat saya semalam.

“Mereka juga berpandangan perkara yang sama kerana golongan dalam sukan ini, kalau mereka tinggalkan latihan dalam masa yang panjang, ia akan menjejaskan segala usaha yang dibuat selama ini boleh hilang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya