PETALING JAYA: Bukan cedera, sebaliknya ‘spike’ kasut Ridzuan Puzi yang kurang mencengkam menjadi penghalang jaguh pecut negara itu untuk menambah kelajuan dalam saingan Sukan Paralimpik 2020 Tokyo, hari ini.
Ridzuan atau lebih mesra dipanggil Dikwan, memulakan pecutan dengan baik di atas trek basah di Stadium Olimpik susulan hujan awal pagi tadi, menyaksikan dia berpotensi menyambar pingat dalam perlumbaan 100m T36 (cerebral palsy) itu.
Begitupun pada 20m terakhir, atlet berusia 34 tahun itu tiba-tiba ‘tergelincir’ sebelum dipintas beberapa pencabar lain, menyaksikan Dikwan menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Dikwan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, masalah di bahagian ‘spike’ kasut telah menjejaskan konsentasinya untuk melakukan pecutan tambahan.
“Masa saya tengah mendahului, saya tahu ada beberapa pesaing lain mahu memintas saya. Jadi saya cuba membuka langkah (menambah kelajuan)
“Bagaimanapun, kasut saya licin untuk melakukannya menyebabkan kelajuan saya menurun (perlahan) kira-kira 20m terakhir.
“Apa pun, saya ingin bangkit melayakkan diri ke Paralimpik 2024 nanti di Paris. Terima kasih atas sokongan rakyat Malaysia,” katanya, yang ketika dihubungi sedang menunggu giliran untuk menjalani doping.
Pemenang pingat emas edisi lalu di Rio 2016 itu menamatkan saingan dengan catatan 12.15s