PETALING JAYA: Jurulatih kebangsaan, R. Jeganathan enggan memaksa Mohamad Ridzuan Puzi menggunakan kasut baharu kerana khuatir akan mengganggu emosi anak didiknya itu.
Jeganathan memberitahu, Ridzuan atau lebih mesra disapa Dikwan lebih selesa menggunakan kasut lama tersebut untuk berlumba berbanding menggunakan yang baharu.
Semalam, Ridzuan gagal mempertahankan pingat emas 100 m (m) T36 (cerebral palsy) yang dimenangi di Rio 2016 selepas menamatkan perlumbaan akhir di tangga keempat dengan masa 12.15 saat (s).
Pelari kelahiran Perlis itu mendahului pesaingnya di awal perlumbaan, namun kelihatan seperti hampir tergelincir 20m menuju garisan penamat untuk membolehkan satu demi satu pelari lain memintasnya.
“Dia berlumba dengan ‘mood’ yang baik hari ini (semalam) dan kalau kita tengok perlumbaan tadi pada 20m terakhir Dikwan tiba-tiba perlahan.
“Kata Dikwan, ‘spike’ kasutnya licin (kurang mencengkam) ketika cuba buka langkah (tambah kelajuan) selepas mendapati beberapa pesaing cuba memintasnya. Itu sebab dia dilihat perlahan pada penghujung perlumbaan.
“Saya tak nak halang (dia mahu guna kasut lama) sebab ia boleh kacau ‘mood’ dia. Itu pilihannya, lagi pun Dikwan kata dia selesa menggunakan kasut itu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia.
Pelari China, Deng Peicheng memenangi emas bersama rekod Paralimpik, 11.85s, meninggalkan juara dunia, James Turner dari Australia di tempat kedua (12.00s), manakala Alexis Sebastian Chavez (Argentina) meraih gangsa dengan 12.02s.
Mengendalikan atlet para, terutama kategori cerebral palsy seperti Ridzuan bukan perkara mudah kerana ia tidak hanya melibatkan soal fizikal, malah emosi mereka juga mudah terganggu dan lebih sensitif berbanding atlet normal.
Dalam pada itu, Jeganathan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal membantu Ridzuan menghadiahkan emas dalam penampilan kedua di Sukan Paralimpik.
“Kali ini pingat terlepas dari tangan saya, saya minta maaf. Sebenarnya, saya yakin yang Dikwan boleh menang emas di sini.