TOKYO: Jepun menarik diri daripada menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia Kelab Disember ini susulan peningkatan berterusan kes Covid-19 di negara itu.
Kejohanan itu yang melibatkan juara-juara setiap benua, selain pasukan tuan rumah dijadual berlangsung pada Disember tetapi berdepan pertukaran venue akibat darurat Covid-19 di Jepun.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkata Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) memaklumkan yang negara itu tidak berada dalam keadaan yang sesuai untuk menganjurkan kejohanan itu.
Kejohanan tahunan itu menampilkan juara-juara benua, dengan Chelsea hadir sebagai pemenang Liga Juara-Juara Eropah.
“FIFA ingin mengucapkan terima kasih kepada JFA di atas usaha dan komitmen mereka dan berharap ia dapat diadakan di Jepun pada masa akan datang.
“Butiran lanjut tentang tuan rumah alternatif untuk Piala Dunia Kelab FIFA 2021 akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata badan induk bola sepak dunia itu.
Selepas menganjurkan Olimpik dan Paralimpik baru-baru ini, Jepun mengisytiharkan darurat dan bergelut menangani gelombang Covid-19 paling buruk negara itu. – AGENSI