JDT mahu lunas dendam - Utusan Malaysia

JDT mahu lunas dendam

PEMAIN JDT melakukan persiapan akhir di Johor semalam dalam misi membalas dendam ke atas Terengganu FC pada aksi Liga Super di tempat lawan malam ini. – IHSAN JOHOR SOUTHERN TIGERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Biarpun tidak punya apa lagi untuk dikejar kerana sudah mengesahkan kejuaraan Liga Super minggu lalu, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) yang masih terluka akibat kekalahan 0-1 kepada Terengganu, April lalu turun dengan misi membalas dendam malam ini.

Pengendali Harimau Selatan, Benjamin Mora berkata, Terengganu satu-satunya pasukan yang menewaskan mereka musim ini, sekali gus meranapkan impian mengulangi rekod unggul menamatkan kempen Liga Super 2020 tanpa kalah.

Mora berikrar akan memastikan skuad kendalian Nafuzi Zain tersembam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu bagi melebarkan rekod kemenangan mereka kepada 10 perlawanan berturut-turut.

“Biarpun sudah mencapai sasaran juara, kami tetap mahu mengekalkan mentaliti menenang bertemu Terengganu.

“Kami tidak dapat melupakan kekalahan yang dihadiahkan lawan ketika beraksi di tempat sendiri. Sudah pasti kami akan memastikan misi balas dendam dapat dilunaskan,” katanya.

Kata Mora, dia akan membariskan pasukan terbaik, terma­suk menurunkan mesin gol JDT, Bergson Da Silva yang memburu rekod jaringan terbanyak. Dia sudah meledak 23 setakat ini.

TERENGGANU sudah bersedia menerima kunjungan JDT malam ini.

Sementara itu, skuad Penyu berjanji akan memberi tentangan sengit dalam misi memburu kedudukan naib juara.

Nafuzi menegaskan, moral pemain tidak terjejas walaupun tercicir dari kelompok atasan susulan kekalahan berturut-turut kepada Kedah dan Kuala Lumpur.

“Tiada masalah dengan ­prestasi dalam dua perlawanan sebelum ini, kami bermain baik cuma gagal memanfaatkan peluang.

“Pemain saya tetap bersemangat untuk menghabiskan baki liga dengan cemerlang,” katanya.

Terengganu bagaimanapun turun tanpa ketua pasukan, Carli De Murga, yang masih cedera manakala bek kiri, Arif Fadzillah Abu Bakar pula digantung perlawanan.

Penyerang utama, David Da Silva akan terus diberi tugas merobek pintu gol JDT sambil tidak menolak kemungkinan untuk membuat rombakan kecil di posisi pertahanan dan tengah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya