PETALING JAYA: Cadangan untuk membubarkan skuad kebangsaan oleh Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) bukan tindakan tepat, sebaliknya mereka perlu menyingkirkan atlet yang terlibat dengan kesalahan doping sahaja.
Bekas atlet kebangsaan, Roswadi Abdul Rashid berkata, menyingkirkan mereka yang bermasalah dapat membersihkan sukan itu daripada pengambilan bahan terlarang selepas dua atlet angkat berat negara dikesan mengambil anabolic steroid.
Pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2006 itu menuntut PABM dan Majlis Sukan Negara (MSN) mengetatkan undang-undang sedia ada dan melakukan pembersihan menyeluruh ke atas atlet mahupun jurulatih yang dikesan terlibat dalam doping.
“Saya kecewa dengan apa yang berlaku terutama dalam sukan angkat berat di Malaysia apabila atlet negara masih terlibat dalam kes doping, malahan kes ini terus berlanjutan dalam beberapa tahun ini.
“Saya sudah duduk dalam bidang ini kira-kira 14 tahun di Bukit Jalil dan untuk melahirkan atlet terbaik memakan masa yang agak lama sebelum mampu mendapatkan hasilnya.
“Kita hanya perlu singkirkan yang bermasalah. Kalau pokok ada parasit kita buang sahaja yang rosak.
“Cadangan saya kita perlu perketatkan undang-undang sedia ada. Kalau boleh gantung mereka yang terlibat seumur hidup dan tidak boleh menyertai angkat berat termasuk atlet mahupun jurulatih.
“Jika sebelum ini hanya dua hingga empat tahun. Saya cadangkan hukuman ditingkatkan kepada enam hingga lapan tahun atau seumur hidup.
“Saya cadangkan MSN dan PABM membuat usul kepada IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) dan IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa) gubal undang-undang,” katanya.