‘Hujan atau ribut, Kedah kena menang’ - Utusan Malaysia

‘Hujan atau ribut, Kedah kena menang’

PEMAIN Kedah menjalani latihan kelmarin menjelang perlawanan terakhir Liga Super menentang Melaka United di Alor Setar malam ini. – IHSAN KEDAH FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sama ada main dalam hujan lebat, padang ke­ring atau apa situasi sekalipun, Kedah perlu memberi segala-galanya untuk mengalahkan Melaka United pada aksi penutup Liga Super malam ini jika mahu bergelar naib juara.

Pengendali Lang Merah, Aidil Sharin Sahak berkata, hanya kemenangan dapat memastikan misi merebut gelaran naib juara buat kali kedua dapat dicapai, sekali gus mengesahkan slot ke Piala AFC musim depan.

Keputusan selain kemena­ngan akan meletakkan mereka dalam bahaya kerana dua pesaing rapat, Penang FC dan Terengganu FC masih berpeluang memintas.

Penang FC yang berkongsi 40 mata bersama Kedah akan menerima kunjungan Terengganu, yang ketinggalan tiga mata di belakang.

MELAKA United akan menjadi penghalang utama Kedah untuk bergelar juara Liga Super.

“Kami tiada pilihan kerana ini perlawanan terakhir musim, dan kami harus bangkit dari apa yang berlaku dalam dua perlawanan lalu.

“Sangat penting untuk kita berikan segalanya dalam perlawanan penutup ini tetapi saya harap pemain tidak terlalu tertekan atau takut-takut untuk beraksi.

“Mereka perlu ‘layan’ perlawanan seperti biasa dan fokus sepanjang 90 minit. Memang tak mudah kerana sebelum ini pun kita jelas melihat pemain kepenatan akibat jadual padat dan sebagainya.

“Sama ada dalam hujan lebat atau kering, kita perlu berikan segala yang termampu untuk berdepan Melaka United,” kata Aidil semalam.

Kedah tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City pada 4 September lalu dan seri 3-3 menentang UiTM FC dalam aksi terakhir, Rabu lalu.

Kata Aidil, kecuali Kpah Sherman dan Rabih Ataya yang terikat dengan tugasan antarabangsa melibatkan negara masing-­masing, semua pemain lain bersedia untuk diturunkan malam ini.

“Walaupun tiada pemain digantung, namun ada antara mereka yang mengalami kece­deraan di betis, lutut dan hamstring tetapi semangat mereka amat tinggi untuk tetap beraksi bagi membantu pasukan mencapai kemenangan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN