PARIS: Legenda bola sepak Perancis, Thierry Henry tidak terkejut dengan reaksi Lionel Messi ketika dikeluarkan ketika Paris Saint-Germain (PSG) menentang Lyon kelmarin.
Ketika permainan terikat 1-1, Messi yang membuat penampilan pertama bersama PSG di laman sendiri dikeluarkan oleh jurulatih, Mauricio Pochettino dan diganti dengan Achraf Hakimi.
PSG menang 2-1, namun reaksi Messi terhadap Pochettino ketika menuju ke bangku simpanan menjadi perbualan hangat.
Bintang Argentina itu menjeling tajam ke arah Pochettino dan enggan bersalam dengannya sambil menunjukkan isyarat tangan dia tidak faham dengan keputusan tersebut.
“Tidak, ia langsung tidak mengejutkan saya.
“Mungkin dia tidak mahu keluar. Kita tidak tahu apa yang mereka katakan kepada satu sama lain.
“Jangan mulakan kontroversi. Dia pasti mahu terus bermain supaya dia dapat menjaringkan gol,” kata Henry.
Messi belum menjaringkan gol untuk PSG dalam tiga penampilannya sejak menyertai PSG dari Barcelona.
Henry pernah bergandingan dengan bintang Argentina itu di Barcelona dari 2007 hingga 2010, dan dia yakin bekas rakan sepasukannya akan mula memberi impak buat PSG. – AGENSI