Harimau Selatan semakin ‘bernafsu’ - Utusan Malaysia

Harimau Selatan semakin ‘bernafsu’

PEMAIN JDT meraikan kejayaan menjuarai Liga Super buat kali kelapan berturut-turut sejurus tamat perlawanan menentang KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri kelmarin. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Biarpun saingan Liga Super 2021 baru melabuhkan tirai, Johor Darul Ta’zim (JDT) sudah merancang untuk menambah koleksi trofi dalam kabinet kelab musim ini.

Pengendali JDT, Benjamin Mora memberi rehat dua ke tiga hari buat pemain untuk menikmati kejayaan menjuarai Liga Super sebelum mengalihkan fokus kepada Piala Malaysia yang bermula akhir bulan ini.

“Pertama, kami akan tutup buku Liga Super dan meraikan malam gemilang setelah muncul juara lapan musim berturut-turut dan barulah memberi tumpuan kepada Piala Malaysia.

“Kami tidak ada objektif lain selain memenangi semua perlawanan yang dipertandingkan.

“Bagaimanapun, laluan ke arah itu cukup berliku dan sai­ngan lebih mencabar.

“Sudah tentu lawan akan mengkaji cara JDT dan mencuba idea baharu ketika berdepan kami nanti, jadi kami tidak boleh berada di takuk lama.

“Kami kena meningkatkan kualiti di setiap sudut serta mempelbagaikan rentak permainan,” katanya.

Tamat perlawanan menentang Kuala Lumpur (KL) City kelmarin yang berkesudahan 2-1 memihak JDT menyaksikan Harimau Selatan secara rasmi bergelar juara Liga Super 2021.

Jaringan sendiri pemain KL City, Nik Shahrul Azim pada minit ke-69 menghadiahkan kemenangan buat JDT selepas gol Izreen Izwandy di minit ke-25 memadam jaringan pembukaan Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-15.

Mengenai perlawanan itu, Mora mengakui sukar menembusi benteng lawan, terutama selepas terpaksa mengeluarkan Leandro Velazquez seawal babak pertama.

“Mereka banyak bertahan dan hanya menunggu peluang melakukan serangan balas.

“Kami terpaksa mencari ruang di celah-celah kepungan pemain lawan dengan melakukan hantaran pantas yang membuahkan hasil di akhir permai­nan,” kata Mora.

Mora berharap Velazquez tidak mengalami kecederaan serius kerana amat memerlukan khidmat pemain tengah itu dalam saingan Piala Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya